Wednesday, 8 March 2017

Bersih?

Separuh abad mengikut aturan,
Mengangguk bila mendengar ucapan,
Perjuangan lama katanya harus dikenangkan,
Benar, tapi sekarang siapa merompak tanpa batasan.

Perjuangan dahulu kerana cinta negara,
Sedang dia berjuang untuk apa?
Mula ditanya jawabnya tiada,
Akhirnya jawapan menjadi derma,

Media perdana mudah diramal,
Beraninya tonjolkan diri si muka tebal,
Undang-undang dibelinya menjadi kebal,
Disalahkan pula media sosial.

Bagai rumah rezeki di rantau ini,
Penghuni jiran bertandang demi sesuap nasi,
Matawang jatuh dia kata puncanya persepsi,
Persepsi yang puncanya dia sendiri.

Negara maju itulah hasrat,
Berlembut lidah sebelum dapat,
Sekarang berani berkata kesat,
Tak turut dia digelar bangsat.

Perjuangan katanya memartabat bangsa,
Mahu memancing perasaan si peneroka,
Terus biarkan mereka ditakuk yang sama,
Agar dia yang terus berkuasa.

Warna kuning mewarnai jalanan,
Biru, putih, merah, hijau semua bergandingan,
Sebagai Isyarat berundurlah dengan aman,
Setelah tertutup tersekat semua jalan.

Bersih? Dari apa dan dari siapa?
Memang ada yang datang bersama agenda,
Sampai agenda itu sudah belakang kira,
Tepuk dada, tanya siapa punca.

Menerima tak semestinya bersetuju,
Turun padang tak semestinya sebulu,
Kerana bimbangkan masa depan anak cucu,
Kerana amanah dikhianat satu persatu.

Bersihkah kita dari kedengkian?
Bersihkah kita dari kebencian?
Bersihkan hati perlukah kotorkan tangan?
Jangan sampai nanti mengundang sesalan.

Persoalan demi persoalan terus menyapa,
Betul atau salah siapa sebenarnya,
Umpama dua pintu pada kamar yang sama,
Bersih? Dari apa dan dari siapa?

-31082015-
-Ruang Tamu, Rumah Bonda-

No comments:

Post a Comment