Serigala-i
Aku Merajuk,
Tanpa terpujuk,
Manakan sejuk,
Tak perlu aku tunjuk,
Aku kan berlalu tunduk,
Aku kan terus menjadi si pungguk.
Bunga laut-i
Bukan sengaja mengelak diri,
Bukan terniat menyendiri,
Bukan bermaksud menjadi api,
Mungkin… Masa mencemburui,
Mungkin… Keadaan tidak mengizini,
Mungkin… Perubahan berlalu pergi,
Mungkin…
Serigala-ii
Alasan kau putar,
Alasan kau hantar,
Alasan kau hambar,
Alasan demi alasan beredar,
Hati mulai memudar,
Kini aku sedar,
Tiada lagi tempat untuk bersandar
Hingga habis getar,
Biarlah aku hindar.
Bunga laut-ii
Aku tersepit,
Tersepit keadaan,
Tersepit Peralihan,
Tersepit dalam perjuangan sendiri,
Tersepit dalam haluan yang aku gali,
Tersepit dalam pencarian yang belum pasti,
Aku mangsa keadaan,
Aku mangsa penderitaan,
Aku mangsa pertengkaran,
Aku mangsa yang hanya mampu mendengar tanpa bersuara.
Serigala-iii
Jangan salahkan keadaan,
Kalau sendiri tak mahu turun ke medan,
Jadi mangsa itu sendiri punya pilihan,
Berjuang apa kalau mengaku kalah tanpa hunusan,
Derita hilang tanpa dikesan,
Kasih tanpa berpesan,
Darah berhamburan,
Si pengecut lari bertempiaran,
Jangan kau salahkan keadaan.
Bunga laut-iii
Apa yang harus aku ungkapkan,
Jauh di lubuk hati,
Samar-samar penglihatan,
Samar-samar pencarian,
Masih tidak terjelas untuk menghurai setiap isi.
Serigala-iv
Samar kerna kau celik mata,
Namun sayang hatimu buta,
Bagaimana kau mahu lihat,
Jika hatimu kau sekat,
Bunga laut-iv
Cukup sekadar dimata,
Tidak mungkin ku letakkan dihati,
Seringkali terluka,
Menjadi semakin serik,
Tidak mungkin ku tambah luka yang semakin dalam menjadi semakin parah.
Serigala-v
Hidup dan luka adalah pasangan,
Hidup dan luka saling berkhaitan,
Jika luka kau gentar,
Tiada erti kau sedar,
Sedari hidup,
Mahu terus redup,
Tanpa luka,
Kau kan semakin buta.
Bunga Laut-v
Aku belum cukup kuat mencari kekuatan,
Aku belum cukup tabah mencari ketabahan,
Aku belum cukup sabar mencari kesabaran,
aku belum cukup hidup mencari kehidupan.
Serigala-vi
Kalau belum cukup sampai bila?
Tak cari tak jumpa,
Tak bina tak ada,
Tak doa tak terima,
Jika mahu tumpahkanlah daya,
Penuhkanlah jiwa,
Hadapilah semua tanpa dusta.
Bunga laut-vi
Berlalu Mencari sesuap nasi dan secangkir teh mungkin juga kehabisan bicara.
Serigala-vii
Menghitung detik yang tak berhenti,
menanti ada jawab yang diberi,
Hilang begitu sahaja ketika beraksi,
Biarlah soalan yang awalnya itu tetap menjadi misteri.
Bicara ini buat lelah kerana terpaksa terus kita berlari.
Di Udara
-20102015-
No comments:
Post a Comment