Wednesday, 8 March 2017

Pejuang tersembunyi

Dipagi minggu ku terjaga, tak tahu apa menanti,
Ku duduk berehat menonton televisi, tersentak ada iklan berbunyi,
Berputar video anak dan ayah saling berdakap sejuta erti,
Eh, rupanya baru ku tersedar hari ayah berlangsung hari ini.

Ku genggam telefon dan ku mula mengarang isi hati,
Jiwa ku sebak bila menulis, saat kau jauh tiada di sisi,
Ku sedar bukan mudah apa yang telah dikau lalui,
Jangan dituruti kesilapanmu itulah yang selalu dikau nasihati,

Ku putar masa sewaktu kecil ketiakmu tempat ku beradu,
Andai ada yang memarahiku pasti dirimu mempertahankanku,
Ku akui ku rindu saat itu kerna kasih kau curah bertalu-talu,
Kau jaga aku, kau bimbing aku, sampai saat berdiri ku mampu,

Maafkan ku kerna sewaktu bangku sekolah ku tak pernah banggakanmu,
Sewaktu itu ku masih mentah, masih tak sedar, betapa benar segala bicaramu,
Jiwa ku masih muda ketika itu, mahu memberontak itu sahaja yang ku tahu,
Maafkan ku, degilku ku teguh ketika itu, bukan niat untuk untuk jadi seteru.

Bila ku gapai menara gading, ku cuba tuk buat keputusan sendiri,
Namun masih ada dikau di sini terus membayangi,
Ku akur apapun yang dikau mahu ku jalani,
Dan kini ku sedar apa yang dikau lakukan hanyalah agar hidup ini mudah kami tempuhi,

Saat ku mula mencari rezeki ibarat pengkhianat dirimu ku belakangi,
Kerna ku fikir ku sudah cukup dewasa dan ilmu untuk berdiri sendiri,
Nyata, ku silap mengikut hati benar kata mu bukan mudah untuk berdiri,
Ayah, terima kasih kerana masih lagi menerima ku disaat aku sudah jatuh begini.

Saat ku jumpa permaisuri hatiku dikau menerima dia dengan terbuka,
Dikala ku sudah lemah dan hilang hala tuju dikau beri ku semangat membara,
Sampai saat ikatan ku dan dia bersatu atas nama cinta,
Dikau beri ku jalan dan keyakinan agar ku kuat sentiasa,

Saat putera ku lahir dalam keadaan yang payah,
Dikau sentiasa memberiku semangat kerana hidup ini tak mudah,
Tak pernah ku mampu membalas jasamu walau ku tinta seribu madah,
Ku ingin dikau tahu sesal yang ku lalui mengingkarmu dan kini ku usaha hanya kasih ku serah,

Maafkan ku, kerna tak mampu jadi apa yang dikau dambakan,
Andai dapat ku undur masa mahu aku kembalikan harapan,
Ayahandaku, jutaan terima kasih yang tak terhingga ingin aku ukirkan,
Terima kasih mengajarku erti hidup, sungguh caranya berbeza namun itulah yang membuatkan ku terus kedepan.

-21062015-

No comments:

Post a Comment